Friday, October 09, 2009

Arak Pembunuh Senyap

Artikel dari berita harian bertarikh 09 Okt 2009, click utk full entry

Alkohol memudaratkan kesihatan, punca pelbagai gejala sosial

Hakikatnya, Islam mengharamkan umat Islam meminum arak kerana minuman yang dilabelkan sebagai air kencing syaitan itu mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan, justeru wajar bagi manusia waras menjauhi sesuatu yang tidak mendatangkan manfaat dalam kehidupan mereka.

Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Ramzisham Abdul Rahman, berkata arak adalah minuman beralkohol yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada individu yang meminumnya.

Katanya, kesan berkenaan terbahagi kepada dua, iaitu kesan jangka pendek dan kesan jangka panjang yang kedua-duanya amat tidak baik kerana boleh mencetus kepada gejala sosial dalam masyarakat.

“Pengambilan arak boleh menimbulkan kesan negatif kepada individu yang mengambilnya. Kesan jangka pendek dapat dilihat dalam 24 jam ke 48 jam pengambilan. Apabila individu mengambil alkohol, otak tidak dapat berfungsi dengan baik kerana sudah dipengaruhi kesan alkohol.

“Kesan berkenaan menyebabkan individu tertekan, tidak dapat berfikir dengan waras seperti hilang rasa malu, hilang kawalan diri dan boleh bertindak di luar keadaan yang normal seterusnya mendorong mereka melakukan tindakan yang tidak wajar,” katanya.

Dr Ramzisham berkata, kesan jangka panjang pula boleh menyebabkan organ dalaman mengalami kerosakan dan ketagihan berpanjangan kepada individu berkenaan. Selain itu, ada banyak komplikasi lain lagi yang akan berlaku kepada organ dalam badan.

“Lazimnya, kesan jangka panjang menjadikan individu peminum arak mengalami sindrom halusinasi dan ketagih meminum arak yang boleh menyumbang kepada kerosakan otak dan urat saraf.

“Kesan pada jantung yang amat merbahaya akan juga berlaku. Keadaan ini dinamakan alcoholic cardiomyopathy yang mana keadaan jantung akan menjadi lemah dan dalam tempoh masa tertentu akan menyebabkan ia gagal berfungsi,” katanya.

Beliau berkata, kesan alkohol terhadap organ badan manusia terlalu hebat dan mampu merosakkan hampir keseluruhan organ utama dalam badan tanpa mengira jantina.

“Usus dan hati juga termasuk dalam komponen organ utama. Kedua-duanya mempunyai kaitan antara satu sama lain. Penyakit lazim yang akan berlaku kepada hati jika mengambil alkohol ialah radang hati.

“Apabila berlaku radang hati, lama kelamaan akan berlaku ‘cirrhosis,’ iaitu apabila berlaku pengambilan alkohol hati boleh menjadi bengkak. Setiap kali bengkak, hati akan mendapat kesan parut. Akibat ada kesan parut berkenaan, ia akan mengecut dan fungsi hati akan terganggu,” katanya.

Dr Ramzisham berkata, apabila keadaan ini berlaku, hati kurang berfungsi serta darah berkurangan di kawasan berkenaan lalu menyebabkan salur darah pada bahagian perut dan esofagus akan kembang serta bengkak seterusnya bakal berlaku pendarahan serius.

“Hati menjadi rosak dan tidak berfungsi. Usus juga akan mengalami ulser seterusnya dalam jangka masa panjang, ia akan merebak menjadi kanser perut. Kesan lebih dahsyat kelenjar pankreas juga akan membengkak, menjadi keras dan rosak.

“Pankreas berfungsi mengeluarkan rembesan untuk menghadamkan makanan, mengeluarkan insulin dan jika insulin tidak cukup dikeluarkan, individu berkenaan akan mendapat penyakit kencing manis, mati pucuk (bagi lelaki), salur darah rosak, tidak subur dan pada masa sama akan menyebabkan daya seks menurun,” katanya.

**Tak tau ler ape yg sedapnyer air arak ni. Bau pun agak tak sedap. Tp tetap menjadi pujaan mereka2 di luar sana. Berdasarkan kisah benar, diakui sendri oleh Mr. A bukan nama sebenar, berusia lewat 30-an, simpton2 sakit seperti diatas mmg telah dirasai. Dan kerana memikirkan kesihatan lebih penting, beliau telah mengambil tindakan drastik utk mengurangkan dan cuba utk mengelak mengambil alkohol. Walau pada hakikatnyer, agama beliau tidak melarang tetapi atas faktor kesihatan beliau memutuskan mengambil tindakan yg terbaik utk dirinya dan keluarga beliau. Kalau mereka yg sah2 tidak dilarang mengambil alkohol ni bijak berfikir utk kepentingan diri sendiri, kenapa yg beragama islam ni tidak mengambil pendekatan yg sama? Seronok itu bersifat sementara sahaja. Berfikir lah sebelum bertindak.

Renung-renungkan dan selamat beramal...

No comments: